Pembaca blog mindatahwil sangat dialu-alukan sekiranya ingin berkongsi artikel yang kami paparkan di dalam blog ini. Terima kasih kepada yang memberikan kredit(membuat pautan) kepada kami, tetapi kami tidak kisah jika tidak diberikan kredit. Harapan kami semoga kita semua mendapat manfaat daripadanya dan kami juga berharap agar pembaca dapat mendoakan kami. Terima kasih kerana sudi meluangkan masa membaca artikel dalam blog "Minda Tahwil" ini.

Pertunangan Dalam Islam




A. Maksud tunang/khitbah

"Khitbah" (Bahasa Arab) / "bertunang" (Bahasa Melayu) adalah muqaddimah atau permulaan kepada az-zawaj (Bahasa Arab) / nikah atau kahwin (Bahasa Melayu). Sesungguhnya Allah menjadikan khitbah sebagai salah satu dari syariat/perundangan Islam.

Apa hikmat, faedah atau kelebihannya?

Khitbah memberi peluang kepada kita semua untuk at-ta'arruf (berkenalan) dengan pasangan masing-masing dari segi zahir dan batin sebelum kita bernikah atau berkahwin.

"Khitbah" di dalam bahasa Arab apabila diterjemah maknanya ke dalam Bahasa Melayu bermakna 'melamar' wanita untuk dijadikan bakal isteri. 'Melamar' ini juga bermakna meminta persetujuan pihak wanita untuk menjadi isteri kepada pihak lelaki. Khitbah ini memakan masa berdasarkan kebiasaan atau adat yang masyhur dipegang kawasan, tempat, adat dan suasana masyarakat.

"Khitbah" juga bermakna proses lelaki meminta dari pihak perempuan untuk berkahwin dengan cara-cara atau jalan-jalan yang diketahui masyhur di tempat masing-masing.
(Fiqh Assunnah oleh Syed Sabiq).

"Khitbah" juga membawa makna menzahir dan mengiklankan kemahuan seseorang untuk berkahwin dengan seorang wanita.
(Fatwa Muasoroh oleh Dr.Yusof Al Qardawi).

Dr. Yusof Al- Qardawi juga berkata (buku yang sama) bahawa di dalam khitbah/bertunang ini tidak ada "hak" bagi khatib (tunang lelaki) kecuali hak untuk melamar (to reserve or booking) makhtubah (tunang wanita) supaya lelaki selain darinya tidak datang untuk meminang wanita itu.

B. Hukum khitbah/tunang dalam Islam

Hukum khitbah ini adalah harus tetapi Imam As-Syafie (sila rujuk buku Mughni Almuhtaj) mengatakan hukumnya adalah al-istihbab (sunat). Dan Dr. Abd. Karim Zaidan (sila rujuk buku Almufassal fi Ahkam Al Mar'ah mengatakan bahawa hukum al-istihbab ini lebih aula (utama/baik) dari hukum harus tadi.

C. Dalil bahawa disyariatkan khitbah/tunang

Dalil atau bukti di"bolehkan" khitbah/tunang ini banyak.
Contohnya ialah:

1) Hadis Rasulallah saw yang bermaksud:
"tidak halal bagi kamu penjualan di atas penjualan orang lain dan tidak halal bagi kamu pertunangan di atas pertunangan orang lain".

Mengikut hadis ini kita faham bahwa kita tidak dibenarkan oleh syarak untuk meminang seseorang wanita/lelaki apabila wanita/lelaki itu sudah dipinang orang. Ini dalil dibolehkan 'khitbah' tetapi, dalil ini tidak tidak secara terus (indirect). Ulamak dan orang-orang faham hukum-hakam mengambil hukum "boleh" khitbah dalam Islam dari hadith ini.

Bagaimana?
Begini, cuba rujuk hadis ini semula. Khitbah dibolehkan dalam Islam, tetapi yang tidak bolehnya ialah meminang seseorang wanita/lelaki di atas pinangan orang lain.
Maka dengan ini secara tidak langsung maksudnya khitbah dibenarkan.

2) Dari Jabir bin Abdillah bahawa Rasulallah s.a.w. bersabda:
" Apabila salah seorang dari kamu bertunang, maka jika sekiranya dia boleh melihat wanita itu hingga membawa kepada kehendak atau kemahuan untuk bernikah/kahwin, maka lakukan!!! ".
Berkata Jabir (perawi) hadis ini: " aku telah bertunang dengan wanita dari Bani Salamah, aku telah bersembunyi tanpa dilihat oleh wanita itu sehingga aku melihat sebahagian dari diri/tubuh badan wanita itu yang boleh membawa kepada kehendak dan kemahuan aku untuk menikahi atau mengahwininya".

2 dalil di atas dipetik dan diambil dari buku Fiqh Assunnah oleh Syed Sabiq.

D. Tempoh yang dibenarkan oleh syarak untuk khitbah/tunang

Tempoh/masa khitbah yang dipersetujui oleh jumhur ulama (ramai ulama) ialah tempoh yang tidak panjang atau lama.

Jumhur ulama berselisih pendapat dalam menentukan makna "tempoh panjang/lama" itu. Berapa hari, berapa minggu, berapa bulan, berapa tahun.

Maka tempoh ini semua ditentukan oleh 'uruf/adat yang masyhur dipegang di sesuatu tempat.

Jika di sesuatu tempat mentafsirkan tempoh lama satu bulan, maka satu bulanlah yang mesti dipegang oleh sesiapa yang menjalankan khitbah ini.

Jika di sesuatu tempat mentafsirkan tempoh lama satu tahun, maka satu tahunlah yang mesti dipegang oleh sesiapa yang menjalankan khitbah ini.

Ini semua contoh yang saya berikan kepada anda semua. Maka selepas ini boleh anda sendiri rujuk 'tempoh' atau 'masa' ini kepada mereka yang tinggal di kawasan anda.

Tanyakan, biasanya di tempat anda ini berapa "tempoh paling lama" khitbah/bertunang?

Jika 2 hari, 3 minggu, 4 bulan atau 5 tahun (contoh), maka semua ini terpulang kepada 'uruf/adat di sesuatu tempat, adat, kawasan dan suasana. Semoga anda faham.

E. Hukum berkhalwat dengan tunang lelaki/wanita

Haram berkhalwat / duduk ditempat yang sunyi bersama dengan tunang (menimbulkan fitnah).

Islam mengharamkan "khalwat" ke atas tunangan ini sehinggalah mereka diakad (ijab dan qabul) dan dinikahkan. Maka lepas akad (ijab dan qabul), maka haruslah bagi pasangan laki dan wanita ini untuk berdua-duaan tanpa menimbulkan fitnah lagi. Dan hikmah, faedah dan kelebihan "haram khalwat" ini ialah untuk mencegah terjadinya maksiat.

Sabda Rasulallah saw yang bermaksud:
"Tidak halal bagi seseorang lelaki berkhalwat dengan seseorang wanita yang tidak halal buatnya kecuali ditemani mahram (mahram-orang yang diharamkan nikah / kahwin dengannya. Maka orang atau pihak ketiga yang ada bersama-sama ketika mereka berdua berkhalwat itu adalah syaitan".
(sila rujuk buku Fiqh As-Sunnah oleh Syed Sabiq).

Dr.Yusof Al Qardawi (Fatwa Muasoroh) berkata:
"selama mana akad kahwin (ijab dan qabul) belum ditunaikan oleh tunang lelaki dan tunang wanita (belum sah nikah / kahwin mereka mengikut 'uruf -adat, syarak dan undang-undang), maka keadaan masih seperti hukum asal.

Iaitu:-
1. Haram bagi makhtubah (tunang wanita) untuk berkhalwat (berdua-duaan sehingga menimbulkan fitnah) dengan khatibnya (tunang lelaki) KECUALI bersama-sama mahtubah (tunang wanita) itu ada salah seorang mahramnya seperti ayahnya atau abangnya.

2. Haram bagi makhtubah (tunang wanita) untuk bermusafir atau melancong dengan khatibnya (tunang lelaki) KECUALI bersama-sama mahtubah (tunang wanita) itu ada salah seorang mahramnya seperti ayahnya atau abangnya.

* mahram = orang yang diharamkan nikah/kahwin dengannya (wanita tersebut)

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...