Pembaca blog mindatahwil sangat dialu-alukan sekiranya ingin berkongsi artikel yang kami paparkan di dalam blog ini. Terima kasih kepada yang memberikan kredit(membuat pautan) kepada kami, tetapi kami tidak kisah jika tidak diberikan kredit. Harapan kami semoga kita semua mendapat manfaat daripadanya dan kami juga berharap agar pembaca dapat mendoakan kami. Terima kasih kerana sudi meluangkan masa membaca artikel dalam blog "Minda Tahwil" ini.

Sayyidina Hamzah bin Abdul Mutalib (Hamzah Asadullah)

Hamzah Asadullah, Singa Allah


Nama penuhnya adalah Hamzah Abu 'Amaarah bin 'abdul Muthalib bin Hasyim bin 'abdi Manaaf al Quraisy al Haasyimi. Beliau merupakan bapa saudara Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alayhi Wasallam dari sebelah bapanya dan juga saudara sesusuan Rasulullah dari Halimatus Saadiah.

Sayyidina Hamzah dilahirkan pada tahun 570 Masihi, lebih kurang setahun ke dua tahun sebelum kelahiran Rasulullah membuatkan beliau amat rapat dengan Rasulullah sejak kecil lagi. Beliau telah memeluk Islam pada tahun kedua kenabian.

Peristiwa pengislaman Sayyidina Hamzah

Suatu hari Abu Jahal melalui Bukit Safa di mana ketika itu Rasulullah sedang berdakwah dan Abu Jahal telah mencerca dan menghina baginda. Bagaimanapun, baginda Rasulullah tetap berdiam diri dan tidak mengucapkan sepatah kata pun kepada hinaan Abu Jahal tersebut. Abu Jahal bagaimanapun tidak berpuas hati lalu membaling batu dan mengenai kepala Rasulullah menyebabkan kepala baginda berdarah.

Sayyidina Hamzah pada ketika itu sedang berburu. Dalam perjalanan pulang, dia melalui kawasan Bukit Safa. Seorang hamba kepada ‘Abdullah bin Jada’an telah menceritakan kekejaman Abu Jahal terhadap Rasulullah kepada Sayyidina Hamzah.

Mendengarnya, Hamzah menjadi sangat marah lalu beliau mencari Abu Jahal yang pada ketika itu sedang berbincang dengan pembesar Quraisy di Masjidil Haram. Beliau memukul kepala Abu Jahal dengan busur panahnya sehingga berdarah sambil berkata,

Sesiapa yang berani menghalang dan mencabar aku silakan!!  telah jelas kepadaku bahawa Muhammad itu ialah Rasul Allah dan ajaran yangg dibawanya adalah benar. Demi Allah aku ialah pengikut Muhammad. Kalau kamu berani halanglah aku.”

Sikap Sayyidina Hamzah ini, didorong oleh rasa kasih dan sayangnya terhadap Rasulullah serta kebenaran yang dibawa oleh baginda. Dengan pengislaman Sayyidina Hamzah, umat Islam menjadi semakin kuat dan dihormati. Pemimpin Quraisy juga tidak lagi berani menindas umat Islam sesuka hati mereka.

Sayyidina Hamzah telah mengikuti beberapa siri peperangan bersama Rasulullah. Antaranya adalah perang Badar dan juga perang Uhud. Ketika dalam peperangan Badar, beliau telah membunuh beberapa kaum tokoh musyrikin seperti Syaibah bin Rabi'ah, Thu'aimah bin Adi dan 'Utbah bin Rabi'ah. Manakala dalam perang Uhud, beliau telah menewaskan 31 orang kafir Quraisy.

Wafatnya Sayyidina Hamzah, Singa Allah

Sayyidina Hamzah Asadullah telah meninggal dunia ketika dalam perang Uhud. Beliau telah dibunuh oleh Wahsyi yang merupakan hamba kepada Jubair bin Muthim. Jubair ingin membalas dendam atas kematian bapa saudaranya, Thu’aiman bin Adi.

Wahsyi menceritakan bagaimana dia membunuh Sayyidina Hamzah. Katanya, Jubair telah berjanji untuk membebaskannya jika dia berjaya membunuh Sayyidina Hamzah. Lalu beliau yang terkenal dengan kemahiran melempar pisau itu, telah mengikuti tentera Quraisy ke medan perang Uhud.

Sewaktu peperangan tersebut, Wahsyi telah bersembunyi di sebalik batu berhampiran tempat Sayyidina Hamzah sedang bertarung. Tatkala dia sedang merencanakan perancangannya, tiba-tiba Sibak bin Abdul Uzza datang menuju kearah Hamzah. Melihat Sibak datang kepadanya, Hamzah berteriak, “Ah! Kamu ke sini hanya mahu mencari mati!”

Dengan sekali hayunan, kepala Sibak berguling di tanah. Maka pada ketika itulah, Wahsyi terus mengacung-acungkan pisau bengkoknya itu, dan apabila merasa sasarannya tepat, dia pun melemparkannya ke Hamzah. Pisau itu tepat mengenai bawah perutnya terus menembusi bawah selangkangnya.

Hamzah cuba bangun menerkam Wahsyi, tetapi dia sudah tidak berdaya lagi. Wahsyi berlalu meninggalkan Hamzah di situ hingga dia mati. Kemudian dia kembali lagi untuk mengambil pisau bengkoknya itu, dan membawanya ke perkemahan.

Wahsyi membunuh Sayyidina Hamzah kerana ingin dimerdekakan oleh tuannya. Sebaik tiba di Mekah, dia telah dimerdekakan oleh Jubair bin Muthim.

Jasad Sayyidina Hamzah radhiAllahu anh sangat sadis dan mengerikan. Mayatnya hancur dan tercincang, manakala hatinya telah hancur dikunyah oleh Hindun binti Utbah yang ingin membalas dendam atas kematian ayahnya dalam perang Badar. Hindun telah membelah perut Sayyidina Hamzah dan mengunyah hatinya sehingga hancur dan memuntahkannya kembali.

Ketika Rasulullah melihat tubuh bapa saudaranya yang hancur, baginda menjadi sangat marah sehingga Allah telah menurunkan firmanNya yang bermaksud,

Dan jika kamu memberikan balasan, maka balaslah dengan balasan yang sama dengan siksaan yang ditimpakan kepadamu. Akan tetapi jika kamu bersabar, sesungguhnya itulah yang lebih baik bagi orang-orang yang sabar. Surah An-Nahl, ayat 126.

Ibnu 'abdil Barr rahimahullah meriwayatkan, "Sesungguhnya Nabi Salallahu ‘alayhi wasallam berdiri di hadapan Hamzah yang telah syahid. Baginda menitikkan air mata dan ketika melihatnya menjadi korban kebiadaban, baginda Rasulullah menarik nafasnya. Tidak ada yang lebih menyakitkan hati baginda daripadanya. Lalu baginda telah melanjutkan ucapannya :

"Semoga Allah merahmatimu, wahai bapa saudaraku. Sedangkan dulu engkau orang yang menyambung tali silaturahim dan banyak melakukan kebajikan".

Selain terkenal dengan gelaran ‘Asadullah’ iaitu Singa Allah, beliau juga dikenali sebagai ‘Sayyidus Syuhada’ iaitu penghulu para Syuhada.

"Penghulu para syuhada adalah Hamzah bin Abdul Muttalib, dan orang yang melawan penguasa kejam, ia melarang dan memerintah, namun akhirnya ia mati terbunuh." (Hadis Riwayat Al Hakim)

Sayyidina Hamzah wafat pada tahun ke-3 Hijrah dan disemadikan bersama ‘Abdullah bin Jahsy dalam satu liang lahad.

Wallahu’alam

HR~

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...