Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Selawat dan salam ke atas junjungan kita, Nabi Muhammad Salallahu ‘alayhi wasallam.
Beberapa ketika dahulu, pernah ada satu artikel yang kerap dikongsi di laman facebook juga blog berkenaan pemakaian tudung yang menyerupai rahib atau biarawati di gereja. Pasti masih ada yang ingat tentang hal itu, kan?
Pada pendapat peribadi saya, hal itu tidaklah menjadi masalah selagi pemakaian tudung kita itu masih lagi mematuhi syarat-syarat seperti menutup bahagian dada dan tidak menampakkan bentuk leher. Yang tidak boleh dipakai adalah apabila tudung yang di pakai (dengan meletakkan pin dibelakang leher) itu jelas menampakkan dada dan juga bentuk leher kita dan bukannya kerana meniru cara biarawati memakai “tudung” mereka. Lagipun sebenarnya biarawati itulah yang meniru pemakaian Islam kerana pemakaian seperti itu telah dijelaskan Allah di dalam al-quran.
Berbalik kepada tujuan asal artikel ini, sebenarnya ada perkara yang lebih parah lagi daripada kes tudung seperti biarawati itu. Perkara itu adalah berkaitan wanita-wanita Muslim yang masih tidak menjalankan kewajipan menutup aurat.
![]() |
| Gambar diambil dari facebook Doodle Dakwah, kredit kepada Nor Abdullah |
Jika kita lihat segelintir pakaian wanita-wanita Muslim yang tidak menutup aurat ini, ada yang mengenakan pakaian yang terlalu mencolok mata dan terlalu terdedah. Pakaian yang dipakai adalah pakaian yang telah dipromosikan oleh orang-orang barat yang mungkin beragama Kristian atau Yahudi. Mungkin pada mata orang yang tidak beragama Islam, pakaian ini nampak hebat dan cantik, tetapi ia tidak langsung menunjukkan ciri-ciri Islamik dan sepatutnya tidak menjadi ikutan kita yang beragama Islam.
Bukankah Allah telah berfirman di dalam surah Al-Ahzaab, ayat ke 59 yang membawa maksud :
“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
Dengan mengenakan “pakaian Islam” yang menutup anggota tubuh yang tidak sepatutnya didedahkan (seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan bagi perempuan), maka wanita Muslim itu akan lebih dikenali sebagai Muslim. Jika kita tidak menutup aurat dan mendedahkan anggota tubuh badan kita, maka kita tiada bezanya dengan wanita yang bukan Muslim.
Jika kita lihat pada fenomena pertama yang saya bawakan iaitu orang yang memakai tudung yang menyerupai biarawati Kristian, pada artikel-artikel mereka pasti ada diletakkan hadis yang bermaksud:
“Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia dalam kalangan mereka” - diriwayatkan daripada AbdulLah bin ‘Umar, Huzaifah bin al-Yaman dan Anas bin Malik. Antara ahli hadis yang mengumpul hadis ini; Abu Daud, Ahmad bin Hanbal, Ibn Abi Syaibah, al-Bazzar dan lain-lain. Hadis dinilai sahih oleh Ibn Taimiyyah (w. 728H) dan al-Iraqi (w. 806H) Ibn Hajar al-‘Asqalani (w. 852H) dan al-Albani menyatakan ia ‘hasan’.
Hadis ini mungkin tidak sesuai untuk golongan yang bertudung, tetapi lebih sesuai diberikan kepada mereka yang tidak menutup aurat dan meniru pakaian-pakaian orang-orang barat yang jelas akan menimbulkan fitnah di kalangan masyarakat Islam.
Saya ingin kongsikan juga kata dari al-Imam al-Munawi:
“Jika puak fasik atau kaki berfoya mengkhususkan sesuatu pakaian, maka dilarang untuk seseorang memakainya kerana mungkin boleh menyebabkan orang yang tidak tahu berburuk sangka bahawa dia dalam kalangan mereka (fasik dan kaki berfoya), lalu berdosa yang berburuk sangka dan juga yang disangka buruk disebabkan dia punca sangkaan tersebut” (al-Munawi, Faidh al-Qadir, 6/135. Beirut: Dar al-Kurub al-‘Ilmiyyah).
Daripada kata-kata ini, kita dilarang untuk meniru pakaian mereka yang bukan Muslim terutamanya pakaian yang mencontohi artis-artis bukan Muslim.
Apakah kita bangga untuk dikenali sebagai Muslim atau berbangga jika orang tersalah anggap bahawa melihat kita sebagai seorang bukan Muslim? Jika kita berbangga menjadi Muslim dan dilahirkan sebagai Muslim, marilah kita berusaha untuk mengenakan “pakaian Islam” dengan menutup aurat secara bersederhana (tidak keterlaluan dalam berpakaian). Apabila kita dilahirkan sebagai Islam, biarlah kita dikenali sebagai seorang Muslim. Wallahu’alam.
Segala yang baik itu datangnya dari Allah, dan yang buruk itu dari kekhilafan diri saya sendiri.
Bacaan tambahan : website Dr. Mohd Asri Zainal Abidin
Bacaan tambahan : website Dr. Mohd Asri Zainal Abidin

0 komen:
Catat Ulasan