Pembaca blog mindatahwil sangat dialu-alukan sekiranya ingin berkongsi artikel yang kami paparkan di dalam blog ini. Terima kasih kepada yang memberikan kredit(membuat pautan) kepada kami, tetapi kami tidak kisah jika tidak diberikan kredit. Harapan kami semoga kita semua mendapat manfaat daripadanya dan kami juga berharap agar pembaca dapat mendoakan kami. Terima kasih kerana sudi meluangkan masa membaca artikel dalam blog "Minda Tahwil" ini.

Anak, rezeki kurniaan Ilahi


Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Sudah lama terniat di hati untuk menulis berkenaan isu ini. Ketika kakak sering mengadu belum hamil sedangkan sudah lebih kurang 6 bulan berkahwin, tetapi diri sendiri pun tiada kekuatan untuk menulis memandangkan saya sendiri juga masih belum dikurniakan cahaya mata walaupun sudah setahun berkahwin.

Bersembang dengan sahabat lama melalui facebook sebentar tadi membuatkan saya kembali bersemangat untuk menulis entri ini. Sahabat juga mempunyai masalah yang sama, masih juga belum dikurniakan rezeki zuriat walaupun berkahwin pada awal tahun ini dan membuatkan dia sedikit tertekan. Tambahan pula rakan-rakan sekerja sibuk bercakap-cakap dan bertanya soalan yang boleh menimbulkan kesedihan dan tekanan buatnya.

Lumrah bagi kaum wanita untuk berasa tertekan jika sering diasak dengan soalan tentang kehamilan. Apatah lagi jika usia perkahwinan sudah melebihi 6 bulan, tetapi masih juga tidak hamil dan si wanita/isteri itu seorang yang sukakan budak-budak dan sangat teringin untuk memiliki cahaya mata sebaik sahaja berkahwin.

Saya sendiri terkadang merasa tertekan dan sering berusaha menjadi tabah dengan memujuk diri sendiri. Mungkin kerana kami baru menikmati alam percintaan selepas nikah, jadi Allah sengaja memberi masa kepada kami untuk lebih mengenali antara satu sama lain dan untuk lebih banyak masa berdua sebelum Dia memberikan zuriat kepada kami. Itulah yang saya sering fikirkan apabila masih juga gagal untuk hamil. Cuba untuk menjadi positif agar tidak bersedih hati.

Sebagai manusia, kita harus percaya anak juga adalah rezeki dari Allah Ta’ala, sama seperti harta dan kemewahan. Walaupun kita berusaha sehabis baik, tetapi Allah telah menyatakan bahawa ia bukan rezeki kita, maka kita harus terima sahajalah dengan redha. Mungkin kita belum betul-betul berusaha sehabis baik, atau mungkin saja amalan kita belum cukup ataupun kita tidak bertawakkal dan serahkan segalanya kepada Allah. Maka, mungkin disebabkan itu rezeki kita tertahan.

Apa yang penting adalah untuk sentiasa berfikir positif. Mungkin ada yang mengatakan menulis/berkata-kata itu lebih mudah daripada melakukannya. Ya, saya setuju. Memang susah untuk membuatkan diri berfikir positif, tetapi kita harus berusaha untuk berfikiran positif kerana dibimbangi fikiran yang negatif akan membuatkan kita berputus asa dari rahmat Allah. Na’uzubillah.

Jika diikut perasaan memanglah sedih, tetapi kita harus ingat bahawa segala yang Allah tentukan itu ada hikmah yang terselindung. Kalau sudah bertahun-tahun kahwin dan masih belum juga dikurniakan zuriat, janganlah bersedih hati. Setiap wanita yang sudah berkahwin, pasti menginginkan zuriat, namun harus diingat ada lagi kurniaan Allah yang lebih baik daripada itu untuk manusia yang beriman dan yang sabar. Allah telah berfirman di dalam al-quran yang bermaksud:

“Dan ketahuilah, bahwa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai cobaan dan sesungguhnya di sisi Allah-lah pahala yang besar.” – Al-Anfal:28

“Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amalan-amalan yang kekal lagi shaleh adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan.” – Al-Kahfi:46

“Dan sekali-kali bukanlah harta dan bukan (pula) anak-anak kamu yang mendekatkan kamu kepada Kami sedikit pun; tetapi orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal shaleh, mereka itulah yang memperoleh balasan yang berlipat ganda disebabkan apa yang telah mereka kerjakan; dan mereka aman sentosa di tempat-tempat yang tinggi (dalam surga).” – Saba’:37
“Sesungguhnya hartamu dan anak-anakmu hanyalah cobaan (bagimu): di sisi Allah-lah pahala yang besar.” – At-Taghaabuun:15

Maka, janganlah kita bersedih hati jika masih belum dikurniakan zuriat. Allah mengetahui apa yang tidak kita ketahui. Mungkin juga Allah telah menyediakan sesuatu yang lebih baik dari itu untuk kita, sedang kita tidak menyedarinya. Jika masih bersedih hati, atau jika ada antara rakan-rakan atau sanak-saudara yang sering mengasak dengan pertanyaan tentang zuriat, katakanlah kepada diri dan juga rakan-rakan dan saudara tadi maksud daripada ayat quran ini:

“Kepunyaan Allah-lah kerajaan langit dan bumi, Dia menciptakan apa yang Dia kehendaki, Dia memberikan anak-anak perempuan kepada siapa yang Dia kehendaki dan memberikan anak-anak lelaki kepada siapa yang Dia kehendaki, atau Dia menganugerahkan kedua jenis laki-laki dan perempuan (kepada siapa yang dikehendaki-Nya), dan Dia menjadikan mandul siapa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa.” – Asy-Syuura:49-50

Akhir sekali, jangan lupa untuk membanyakkan amal ibadah kepada Allah. Selalulah meminta pertolongan dan berdoa kepada-Nya. Semoga suatu hari nanti Allah akan memberikan zuriat untuk kita jika itu yang terbaik untuk diri kita dan menggantikan sesuatu yang lebih baik dari itu jika itu bukan yang terbaik untuk kita. Wallahu’alam.

1 komen:

mimiyuyu berkata...

InsyaAllah Ta'ala..rezeki anyah dah Fairouz akan sampai 1hari nanti..
kami di sini sentiasa doakan yang terbaik utk kalian berdua...Ameen
be strong syg...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...